Ramadan al-Mubarak datang dan pergi silih berganti
Bulan Ramadan dikurniakan kepada Umat Muhammad s.a.w. yang penuh dengan keberkatan dan keistimewaan yang tersendiri. Selain dari berpuasa, bulan ini juga dikenali sebagai bulan yang terdapat lailatuqadar dan diturunkan al-Quran.
Rasulullah pernah bersabda:
“Sesiapa yang bergembira dengan kedatangan Ramadan akan diharamkan dirinya dari disimbahi api neraka”.
Puasa Yang Cemerlang
Bulan ini bukan setakat dilabelkan dengan bulan puasa sahaja tetapi sebenarnya bulan ibadah. Bulan yang bukan setakat menahan diri dari lapar dan dahaga sahaja tetapi tuntutannya menjangkau dari dua perkara tersebut. Puasa yang cemerlang ialah puasa yang memenuhi dua aspek berikut:
Aspek Luaran dan Aspek Dalaman
1) Aspek Luaran
i) Yakin dan pasti bahawa bulan Ramadan telah tiba sama ada ditentukan
secara hisab atau rukyah
ii) Niat puasa di malam hari
iii) Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti
muntah dengan sengaja
2) Aspek Dalaman
i) Menahan penglihatan dari melihat perkara yang ditegah oleh syarak,
dibenci oleh Allah SWT
ii) Menjaga lidah dari perkara-perkara yang tidak bermanfaat, tidak
berfaedah, bercakap bohong, bercakap kotor
iii) Menahan pendengaran dari perkara yang dibenci oleh Allah SWT
iv) Tidak terlalu banyak makan selepas berbuka puasa meskipun ia dari sumber yang halal
v) Hatinya sentiasa mengharap kepada Allah agar menerima ibadahnya sepanjang bulan Ramadan
Keistimewaan Ramadan
Banyak terdapat keistimewaan bulan Ramadan yang diberikan kepada umat Muhammad s.a.w. dan tidak diberikan kepada umat yang terdahulu, antaranya : Iktikaf di masjid pada setiap malam Ramadan.
Ibadah puasa yang tidak terhingga pahalanya seperti mana yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis Qudsi bahawa Allah telah berfirman:
“Tiap-tiap amalan yang dilakukan oleh setiap anak Adam adalah bahagiannya melainkan puasa, Akulah yang menentukan pahalanya. ”
Malam Lailatul Qadar
Malam yang lebih baik dari seribu bulan yang dikurniakan kepada umat Muhammad s.a.w. Malam yang digalakkan kepada umat Islam untuk mencarinya. Rasulullah sendiri mencari malam tersebut dengan beriktikaf di masjid.
Apakah maksud Iktikaf?
Iktikaf ialah diam dalam masjid dengan niat kerana Allah SWT
Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Hurairah yang bermaksud “Rasulullah sentiasa beriktikaf pada malam sepuluh terakhir Ramadan, tetapi beliau beriktikaf selama dua puluh malam pada tahun kewafatannya”.
Oleh itu marilah sama-sama kita memperbanyakkan ibadah sempena bulan Ramadan ini terutama di sepuluh terakhir seperti mana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada kita. Sepatutnya kita sebagai umatnya lebih kuat beribadah, kerana kita tidak tahu kesudahan diri kita sama ada ke syurga atau neraka berbanding dengan Rasulullah yang dijanjikan dengan syurga.
SELAMAT MENGHIDUPKAN RAMADAN AL-MUBARAK DENGAN IBADAH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan