06 Mac, 2012

Majlis Persaraan Guru Besar - En. Ateh b. Salim

Pada 2 Mac 2012 telah berlangsung satu majlis persaraan Tuan Guru Besar SKPKM, En Ateh b. Salim. Majlis telah berlangsung di Dewan Terbuka SKPKM. Kehadiran Guru-guru Besar Sekolah-sekolah Pendidikan Khas, guru-guru besar sekolah sekitar SKPKM, Guru, Staf dan murid SKPK Batu Pahat, mantan Guru Besar SKPKM, serta beberapa teman rapat En. Ateh telah memeriahkan majlis yang diadakan. 



Hujung daksina merimbun celagi,
Beralun tualang indah bersemu,
Walau ke mana diriku pergi,
Insan sepertimu takkan ketemu.

Alangkah dinginnya menjelang senja,
Mentari terbenam diufuk barat,
Doaku ikhlas untukmu sahaja,
Bahagia di dunia hingga akhirat.

Selamat Bersara diucapkan kepada En Ateh bin Salim daripada warga SKPKM

LDP 3 - Pengurusan Stress

LDP 3 telah diadakan pada 29 Februari bermula jam 2.00 petang di Kamar Tun Fatimah. LDP pada kali ini bertajuk pengurusan stress dan Guru Besar En. Ateh b. Salim telah berbesar hati untuk memberikan ceramah tersebut. Ceramah pada kali ini menekankan tentang bahaya stress dan bagaimana untuk menangani stress yang dihadapi. Stress yang keterlaluan boleh menyebabkan pelbagai masalah pada diri, keluarga dan masyarakat sekeliling. 
Pada slot terakhir petang itu, guru besar mengambil peluang untuk bermaafan dengan semua guru dan staf yang ada berikutan LDP ini merupakan slot terakhirnya sebelum bersara. Beliau juga tidak melepaskan peluang untuk meninggalkan kenangan terakhir buat guru dan staf dengan menyanyikan sebuah lagu perpisahan untuk semua.

Mesyuarat Agong PIBG Kali ke -20

Pada 24 Februari 2012 telah berlangsung satu Mesyuarat Agong PIBG SKPKM Kali ke-20 yang bertempat di Dewan Terbuka SKPKM. Mesyuarat bermula pada pukul 2.30 petang dan telah dirasmikan oleh mantan Guru Besar SKPKM Tuan Hj. Abdullah b. Yaakob. Ramai ibu bapa yang memberi kerjasama dan hadir pada mesyuarat tersebut. Diharapkan sokongan yang ditunjukkan oleh ibu bapa ini dapat membantu meningkatkan prestasi murid-murid.